“Mungkin. Boleh atau tidak itu mengikut keadaan dan mahu aku saja, bukan?”sambil senyum nipis dengan gerak bibir minima. Ya, cukup benar minima.
“Interview lusa. Takkan tak ada insan-insan di sana yang boleh aku guna pakai buat jalan aku lebih lancar dan mudah”
*senyum*
kali ini lebih kasar dari tadi. Ah, sedikit saja lebihnya.
“Mahu mencari jalan mudah? Jalan pendek dari jalan yang lain?”
“Bukan sengaja aku mahu. Dunia pun begitu bukan? Semua ada jalan dalam. Kalau tidak, habuk pun segan mahu lekat pada jasad aku”
“Oh itu yang kamu yakin percaya kan?”
“Apa perlu yakin lagi. Semua pun tahu yang itu. Sepelosok sibuk dunia tahu. Ah, yang kamu panjang-panjang bising itu ini mahu hulur tolong atau sekadar mahu lihat aku melolong?”
“Sahabat.
Sesungguhnya, yang berhak itu tetap akan mendapat haknya. Andai kamu benar layak untuk itu, kamu akan dapat hak kamu.
Jadi, biarlah semuanya dengan jalan benar, dan jauh dari pengkhianatan atas insan lain yang mungkin berhak”
“Hak tak hak, nak tolong atau tidak ni? Orang lain pun guna kabel jugak. Takkan kamu yang lama berbimbit tangan persahabatan ini tak mahu tolong? Sombong! Sudah jadi tuan lupa dengan sekawan kita kumbang-kumbang dulu!”
“Dan atas sebab sahabat kamu lah aku berpesan. Jangan menjadi pencuri dan perampas. Sesekali kamu takkan senang”
“Hari ini kamu mula dengan satu penganiayaan. Esok-esok laba yang datang kamu rasa ada berkatkah? Yang kamu suap pelahan-pelahan ke jamahan sang putera puteri kamu tuh cukup benar bersihkah? Dan kalau yang ini pun kamu boleh halal kan, tak mustahil pendosa bisa lihat yang salah lain juga kecil dan tidak apa kan?”
“Kawan. Ini bukan Jumaat. Aku bukan mahu khutbah kamu. Sombong itu sombong lah” lalu hanyut ke muka pintu. Mahu gegas pulang.
“Kamu tak tengok televisyen barang kali”
Dia sempat berhenti sejenak dan berpaling pandang sekejap.
Ya, cukup sekejap yang kemudian terus melangkah pelahan tanpa pernah mahu faham.
“Ya, televisyen. Sekarang orang tak mahu kabel-kabel sudah. Semua mahu potong. Pakai broadband. Pakai wireless. Kamu saja yang tinggal kolot mahu guna kabel, dan sombong dari bersujud tanpa wire dengan Maha Esa Tuhan!”
Ah. Tak sampai pun.
Bisik aku hanyut dalam sibuk-sibuk manusia di luar.
Dia dah pun hilang sebelum sempat aku menelan baki nafas. Malah pergi begitu tanpa sempat berbasah salam. Ah. Aku ini bukan siapa-siapa kan. Sedang dengan Maha Esa Allah pun dia jarang beri salam, inikan si marhaen rendah darjat seperti aku, apatah lagi bukan?
*senyum*
No comments:
Post a Comment