”Ini Kakak punya. Adik nak yang baru!”
*senyum*
Mana mampu disedia semua segala bersilih ganti yang baru-baru saja. Dan bukan sikit-sikit kemampuan yang perlu untuk jari-jari keras kasar ini berdaya koyak-koyakkan plastik pelapik alatan baru untuk si kecil, kerana yang cuba berdaya mampu ini sendiri kecil-kecil manusia yang sekali sekala meminjam air mata yang lain untuk melepas lelah kerana yang dia-nya sendiri sudah habis; kering.
Ah, apalah tahunya si kecil untuk membilang kerut pada jiwa yang berselindung balik bibir keras yang berpaksa-paksa semampunya untuk menguntum senyum; jujur buat dia.
”Zahin sayang Babah kan?”
bersentuh selembut mampu mengapai si kecil ke dakap kemas mesra sayang. Biar berasa pindah degup nadi ini ke tubuhnya yang masih bertatih mencari makna hidup berdunia ini.
”Tapi, Adik asyik dapat yang lama saja. Akak saja yang baru!”
masih belum berhujung bentak si kecil dalam serak-serak suaranya. Itu bisa buat jiwa yang lemah ini kalah sentiasa. Ya, kalah saja!.
”Sayang tahu satu tak?”
berjawab tanya itu dengan berpaling lembut wajahnya pada Babah. Mata berkaca itu masih di situ.
”Ini sendiri kesayangan Kakak”
”Yang Babah pandang, Kakak tak pernah lekang dari membibit sayang pada yang ini. Dan tak pernah pudar rasa yang dulu biarpun dah bertahun dipeluk kemas yang ini dalam rangkul kecil dia. Alih-alih, Babah ambil juga yang Kakak sayang ini buat Zahin. Jadi, Babah ni zalim lah kot kerana biar yang bersayang antara mereka berpisah semata mahu beri yang ini pada Zahin?”
Mata jernih itu berkelip. Ah, belum tempus faham si kecil ini dengan bahasa itu. Aduh.
”Begini. Babah berikan yang milik Kakak ini bukan semata mahu Zahin sentiasa dapat yang berbekas-bekas, sebaliknya mahu Zahin sendiri rasa yang Kakak mahu saja berkongsi yang paling dia sayang dengan Zahin. Mahu biar sayang itu berasa dan meresap dalam-dalam jiwa Zahin, dan biar Zahin sendiri rasa yang sayang Kakak itu lebih dari apa yang kita pernah fikir”
”Jadi, salahkah kalau yang Babah panjangkan pada Zahin ini apa yang terbaik?”
”Tapi, tetap barang bekas. Adik nak yang baru. Kakak asyik dapat yang baru!”
”Percayalah, kita mampu usaha dapat yang baru dan baru saja, tapi pasti mana yang baru itu lebih baik? Dan percayalah juga yang melepaskan apa yang kita sayang lebih perit sakitnya dari tidak mendapat yang baru. Tapi, Kakak masih mahu buat yang itu sebab sayang dia pada Adik Zahin lebih dalam dari pada yang lain. Boleh begitu?”
Tak ada angguk.
Tak ada ngeleng.
Sayu bayu similir pagi yang berbaki menjadi teman hati yang memandang jauh pada sepelahung suara.
Aku yang sekecil ini dulu pun pasti bising seperti ini, dan tak mampu melihat jauh dari apa yang terpandang, kan.
No comments:
Post a Comment