Ah bukan.
Semalam.
Yang baru dikemas semalam.
Semalaman berjaga dengan penuh kusut jiwa. Harus terus, atau tidak.
”Biarpun sampai detik yang ini, tak ada satu pun yang aku harus maafkan” dan senyap.
Ada sehela dua nafas yang dilepas penuh berat; untuk ruang toma’ninah yang benar sekejap. Agar yang disusun lafas itu disaratkan dengan fikir dan emosi yang ditafsir aqal dahulu.
”Erm. Ya. Tak ada. Tak ada salah yang meletakkan aku mampu memaafkan kamu”
”Salah aku terlalu besar untuk kemaafan kamu?”
”Ah, bukan. Kamu tiada salah. Benar tiada. Semua yang aku dengar dari basah-basah bibir kamu mahupun yang aku pandang dan dengar dari laku peri kamu, semuanya baik saja”
”Dan kamu melafaz seperti kesempurnaan itu adalah aku, sedangkan kamu tentu fasih yang aku sendiri sempurna dengan ketidaksempurnaan setiap insan. Seperti juga kamu?”
Angguk.
Pelahan-pelahan disampaikan ya dengan kalimah itu dari tindak jujur demikian. Ya, angguk yang pelahan. Benar-benar pelahan tujahnya.
”dan kamu masih seperti kamu kan.”
”Kerana aku sendiri mahu kamu seperti kamu” dan mata bertentang.
Ada kejujuran berselimut mata yang berkaca.
Ah, tahan lah kaca itu, aku tak mahu tiris pecah disini. Jangan bisa tembus lagi!
”Memang selalu seperti ini kan”
”Gaduh”
Ada malaikat menumpang lalu, barangkali. Kedua-dua bibir membeku dari reaksi, dan suara hilang dari ruang. Terbiar di isi bising-bising sekitar yang entah apa.
"Panggilan akhir. Penumpang Nini Express ke Kuala Terengganu jam 8.30 malam di minta untuk ke Platform."
”Wak. Bas awak” dan yang bersambut hanya sehalus-halus senyuman.
”Jaga diri ya.”
”Assalamualaikum” dan berlalu.
Hanya pandang mata yang mampu dihantar untuk memeluk kemas si gadis itu. Ya, hanya itu yang termampu.
~Pandanglah sekali~
Sekadar hajat hati. Dan si dia tidak bisa dengar debar itu.
Dan hilang.
Kelibatnya hilang ditelan sesak manusia yang berbagai dan susun bising yang merunsingkan.
”Sesungguhnya, semua salahmu andainya ada pun telah aku maafkan sebelum pun kewujudnya”
”Aku terima kamu seadanya, kerana itu yang aku yakin perlu untuk kamu yang benar-benar ku sayang”
Tapi tak guna.
Dilafazlah sepenuh kitab pun kata-kata itu, takkan pernah sampai andai berbicara hanya dengan bayang-bayang diri.
Si dia sudah hilang dari kewujudnya di ruang lingkup pandang mata.
~Andai cukup dalam, pandangan kamu ke mata ku, harus tentu kamu sentuh debar jiwa ini.~ bisik hati.
Berpaling.
Dan melangkah pergi setapak dua. Tiga. Empat.
Terkumat kamit dalam sedar.
~Ya Allah, peliharalah gadis itu andaipun dia jodoh ku ataupun tidak. Semoga yang dikejarnya sampai tergapai dan dirahmati atas dia itu oleh-Mu tak putus-putus. Andai baik untuk kamu, Engkau peliharalah pertunangan kamu hingga ke pernikahan dan syurga-Mu ya Rabbi” tiris.pecah empang kaca di mata itu~
Debu habuk barangkali.
TUT! TUT!, TUT! TUT!
Open message-
”dan moga Allah pelihara tunang yang aku sayang kerana-Nya ini hingga ke hujungnya juga. Ameen”
Ah. Sebak pecah lagi. Basah.
No comments:
Post a Comment