Wednesday, 29 February 2012

Pada Tiga Jemari



Yang aku bisikkan bisa hilang. Maka, biarlah aku menconteng di cermin berdebu ini; tinggal, buat kalian renung. Sekupang dua itu saja yang mampu aku kongsikan;  itu pun kalau mahu memandang.

Selebihnya
Aku si marhaen kecil yang kosong mengendong guni-guni kehidupan yang tidak berisi sambil berkaki ayam di pinggir jalan.
Mengemis.
Manalah tahu, ada secubit dua lebih makanan yang boleh aku tumpang.
Ada sepatah dua kata-kata manusia yang berterbangan di angin lalu buat aku kutip simpan.

Kalau pun semuanya tidak ada nanti, aku bisa jadi kaku, dan berdiri memerhati dunia.
Ah
Manalah tahu, ada satu dua anekdot baru untuk aku simpan buat pahat hati anak-anak aku di rumah.

Samalah pada semua kita.
Kita yang tidak lebih dari marhaen yang selemah-lemah kemampuan.

Sesekali, belajarlah dengan yang lebih rendah duduknya dari kita; dan kadangnya belajarlah dari yang tinggi dirinya lebih dari kita.

itu saja.

Above all, The Almighty Allah is everything

*smile*

Tuesday, 21 February 2012

Baju Jiwa



setebal-tebal pakaian di dunia yang mampu kita sarungkan adalah dari jahitan iman di dada.
tanpa ada jalur-jalur iman dipintal dan di kemas-kejap di pelosok hati dan tubuh kita; berbogel lah dari perlindungan benci dan murka dari-Nya.

selagi ada iman; senipis halus pun dia, iman tetap iman.
dan fitrah kemanusiaan itu, berdebar hati bila mahu melangkah dalam najis kejahatan, kerana lahir kita dalam putih bersih, dan suci, maka pasti tubuh kita sendiri jijik dengan kejahatan itu; walau sekecil mana pun dia.

cuma.
bila nafsu kita bimbit jadi teman yang bersuara lebih dari ilmu agama kita, dan dibuang siat-siat iman dari salur pembuluh jiwa kita, berbogel lah semuanya dengan penuh bogel untuk di biar tatap serapat mungkin.

waktu itu, apa itu malu?
ah. biar saja!
apa itu takut?
sedang Allah pun di biar tak dipandang hirau, inikan hal manusia!
enteng saja!!!

AJ-2010

Friday, 3 February 2012

Sakit II


Kan elok kita mati bersakit. Kurang-kurang kita ada masa untuk untuk sedar dan sebut ‘Allah, Allah dan Allah’ berpanjang-panjang. Moga ada sedikit ruang untuk cari lemah dan terus perbaiki diri untuk kurang-kurang lebih dekat dengan syurga Allah.

Tapi tak juga semua yang ada peluang itu sedar yang itu jalan akhir untuk sedia bertemu Maha Kuasa Allah. Tak lebih hanya jadi bahan membakar emosi yang sedia mati dari roh kebenaran.

Thursday, 2 February 2012

Ada Empat



*
Pada setiap keluh kesah jiwa, ada satu dua lompong kosong yang buatkan tenang bukan apa yang tinggal dirasa. Lagi dibiar ranum hati dibaham emosi yang duduknya tidak reti diam, lagi jahanamlah susun langkah hidup.

**

Mencari harus ada pelita.
Apa guna dipegang pelita itu kalau mata mahu dipejam rapat-rapat.
Jangan disalah pelita.
Salahkan mata, yang di belakangnya jiwa yang tak mahu sedar.
Sedang dalam terang pun bisa tersadung, inikan hidup yang dibiar hitam tak ada terang.

***

Kosong pada perut jangan dibiarkan, nanti mudarat pada kederat.
Kosong pada jiwa jangan disepikan saja, nanti rosak pada sesat percaya.

****

Sebaiknya emosi, apabila ia menjadi hasil dari jiwa yang rasional, dan bukan menjadi input untuk apa jiwa rasionalkan. Tidaklah juga baik pada semuanya kalau masih kosong tak bertaut pada yang haq.

Wednesday, 1 February 2012

Hilang-kan



Pada setiap yang hilang ingatan, terbaik utuk kembalikan ingat mereka adalah bawa semua yang pernah menjadi kenangan dan tunjukkan satu persatu. Dari gambar, cerita, pada nama, tempat, keadaan dan sekaliannya. Tak kira lah perit atau manis kenangan itu.

Dan untuk itu,jalan yang sama juga harus kita ambil untuk biar sisih buang apa yang kita ada dan pasang mode ‘hilang ingatan’; cuma jalan itu bukan kita jalan terus, tapi kita menetang arus.

Bukan mendekati apa yang pernah kita kenangkan, tapi cari jalan untuk sisihkan semua yang dekat pada kenangan dari rutin dan susun harian kita.

Tuesday, 31 January 2012

Ma, Pisang!



Pada setiap kali di jalanan pulang ke rumah lewat Isyak’, Sufia pasti berdiri di duduk belakang kereta menunggu. Setiap kali itu juga, ketika mendekati henti lampu isyarat di pekan kecil yang kamu lintasi, pasti dia berdiri dengan senyum manisnya dan menanti.

“Pisang! Ma, Pisang!” dan tersenyum.

Pada setiap malam; andai dia berjaga, menjadi rutin andai melintasi gerai itu untuk dia gembira pada pisang yang terlihat.

Tapi, kalau aku berhenti beli-pun, tak banyak yang dia jamah. Seulas dua, dan sudah. Tidak gemar sangat pada rasanya. Cuma, pada budak sekecil dia,  pisang itu seperti satu hal yang dia suka tengok setiap hari, tapi bukan suka pada jamahannya.

Seperti kita, ada yang  kita kata kita suka dan mahu sangat, tapi hakikatnya hati kita tak nak.
Mana tahu, barangkali ada marhaen yang perasan seperti dia ini sayang sangat dengan Islam dan mahu bertegang leher kalau ada yang tidak cukup Islam tuturnya, sedangkan dalam diri dia tak lah seperti mahu sayang sangat dengan Islam pun.

Barangkali-lah.

Monday, 30 January 2012

Tetap Ada



Hal hati takkan mati.
Sampai bila-bila.
Cumanya, samada kita ini berisi hati atau biar melayang jiwa menjadi lompang kosong yang bebas ditiup angin tanpa pegang asa yang kuat.
Dan nanti, hati kita bias lebih jauh dari jalan yang benar.
Kenapa?
Kerana yang meniup mencari sesat itu lebih ramai bilangnya dari yang satu-satunya jalan terus kepada kebenaran yang tak pernah berganjak walau seinci pun halanya. Semuanya masih tetap seperti mula dulu, dan wujudnya untuk kita pegang; bukan untuk kita cuba cabar keyakinan sebenar.

Friday, 27 January 2012

Bukan Pada Kita



Kalau pemain bola sepak itu bersifat kasar pada permainannya, tak bererti bola sepak itu semata-mata kasar dan perjudian. Padanya ada harmoni, kesepakatan, strategi dan etika disiplin.

Kalau pelukis potret dunia itu berambut panjang gerbang, berbaju lusuh dan berdenim lama, tak semestinya seni lukisan itu penuh serabut dan harus lusuh duduknya. Harus dinilai pada nilainya, dan bukan perilaku yang bernilai demikian.

***

Masih tak sesempurna lagi Islamnya aku, tapi tak bermaksud Islam itu tidak sempurna.

Hal Islam bukan ‘semata-mata’ hal politik, jubah serban, ceramah, haram bercouple, dan makan minum; sebaliknya Islam ada semua itu dan sekalian yang ada sebelum wujudnya bumi, dan selepas hancurnya bumi. Bagi setiap yang terinci bagi yang bernyawa atau tidak.
Semuanya.
Sesempurnanya.

Maka, jangan dinilai Islam itu pada siapa yang membawanya, tapi apa pengisiannya.
Bukan membetul salahkan pada siapa dan apa yang kita suka mahupun benci, tapi suka pada patinya Islam, walau siapa pun yang dirikannya. Kerana Islam itu berdiri sendiri atas arahan dia; dan kita yang menumpang pada lembayungnya untuk ketemu Dia yang Maha Kuasa.

*senyum*

Thursday, 26 January 2012

AJ? Siapa?

LINK UPDATED.

Pada yang pernah bertanya, siapa AJ, silalah click hal penulis di tab page,
atau sekadar link to this URL,
{http://aj-nismihan.blogspot.com/p/aj-siapa.html}

Oh.
Lupa.



dan untuk yang lama aku tinggalkan,
aku cetak di layar saja status sahabatku
yang aku suka kongsikan untuk kalian.
Kalian sendiri seorang penulis kisah hidup sendiri kan?

*senyum*



Semua status milik akaun fb John Norafizan.


Friday, 6 January 2012

Ada Dua Simpang; Kita Pilih Jalan



Hari ini hidup, Esok lusa mati
Yang ditimbang bukan apa orang kata

Tapi, sampai mana kita dengar Allah 'kata'

Hari ini senang, Esok lusa susah
Tapi dua-dua tetap sama

Datang sebagai pinjaman; datang sebagai dugaan

Ada masalah;
Menangis saja;
Biar bergelen benci terpancar
Tapi;
Benci itu tetap ada;
Yang hilang? yakin diri dan tenaga

Menjadi orang bodoh
Menjadi yang diperbodohkan
Dua-dua lebih bodoh dari orang yang ditakdirkan bodoh

Nak senang hati tenang
Nak susah hati parah
Tips hidup; fikir sebelum melangkah